PERUTUSAN SEMPERNA MAJLIS SAMBUTAN HARI GURU PASTI SELANGOR

Assalamualaikum Warahmatulllahi Wabarakatuh. Al-hamdullillah, setinggi-tinggi kesyukuran kehadrat Allah SWT kerana dengan limpah rahmat dan izinnya, saya diberi peluang untuk memberi sepatah dua kata.

“Guru Pendidik Sepanjng Zaman” Merupakan Tema Hari Guru pada tahun ini. Seorang pendidik yang cemerlang lagi berkesan seharusnya mempunyai jiwa yang lohor dan murni, penuh dengan keikhlasan mendidik anak bangsa tanpa mengenal penat dan jemu. Panggilan penghormatan ‘Cikgu’ akan kekal terukir di sudut hati masyarakat, dan ia akan terus diabadi sepanjang zaman.

Marilah sama-sama kita mengimbas kembali pengalaman kita semasa kita berada di alam persekolahan. Terbayang akan wajah guru-guru yang telah mengajar dan mendidik kita sehingga membawa kepada kejayaan diri kita seadanya pada ketika ini. Tanda ingatan dan terima kasih, kita iringkan dengan sekalong doa dan hadiah Al-Fatihah kepada mereka semua.Biarlah ini menjadi amalan kita tanda terima kasih diatas ilmu yang dicurahkan oleh guru-guru kita.

Kini kita pula diamanahkan sebagai seorang guru mendidik anak-anak Pasti. Inilah juga harapan kita. Semoga dengan keikhlasan kita mendidik anak-anak Pasti, mereka juga akan sentiasa mengingati dan mendoakan untuk kita. Inilah merupakan hadiah yang paling bernilai bagi seseorang guru.

Semasa perhimpunan pulang, anak-anak Pasti di ajar dengan ucapan permohonan keredhaan ikhlas daripada cikgu Pasti yang berbunyi:

Terima kasih cikgu, maafkan kami cikgu, halalkan segala ilmu yang di ajar kepada kami”.

Sebagai seorang guru yang insaf, ucapan sebegini juga harus kita panjangkan kepada guru yang telah mendidik dan mengasuh kita. Ilmu yang telah dicurahkan oleh guru kita tidak terbalas oleh kita.Sentiasalah kita mengingati dan mendoakan untuk guru yang mendidik kita sebelum ini. Semoga anak-anak Pasti juga akan mengingati dan mendoakan kesejahteraan untuk kita semua guru-guru Pasti. Saya mendoakan semoga guru Pasti seluruhnya mendapat Berkat dan Rahmat daripada Allh SWT. Amin…..

Diatas keberkatan dan kerahmatan inilah, guru Pasti akan menjulang kejayaan Pasti ke tahap yang lebih cemerlang dan diterima oleh semua lapisan Masyarakat. Sekian wasallam.

Khairiah Bt Muhammad
Pengerusi MGP Selangor

0 comments: